Bagaimana operasi perangkap laju dilaksanakan Perangkap_laju

Perangkap laju boleh dilakukan sama ada dengan menempatkan anggota polis dengan radar pengesan kelajuan ataupun dengan menggunakan kamera pengesan kelajuan yang boleh mengesan pesalah secara automatik tanpa perlu menempatkan anggota polis di tempat berkenaan. Kedua-dua alat berkenaan menggunakan prinsip kesan Doppler bagi mengukur kelajuan kenderaan dengan tepat.

Sungguhpun demikian, terdapat segelintir pemandu yang berupaya menangkis peralatan sedemikian melalui alat pengesan radar. Alat pengesan radar diharamkan di kebanyakan negara, dan pihak polis juga turut dibekalkan dengan "pengesan alat pengesan radar" (RDD; Radar Detector Detector) bagi menangkis peralatan sedemikian.

Meter laju yang digunakan pada kenderaan biasanya mengukur kelajuan sama ada daripada pusingan roda ataupun aci pemacu akhir di dalam sistem transmisi. Sungguhpun demikian, ukuran kelajuan oleh meter laju biasanya adalah kurang tepat kerana beberapa faktor seperti saiz roda dan beban spring tidak mempengaruhi bacaan kelajuan. Oleh itu, biasanya terdapat sedikit selisih antara bacaan meter laju kenderaan dengan bacaan pada radar pengesan kelajuan yang digunakan oleh pihak polis.